Gambar batu karang
Apa itu batu karang?
Kejadian penyakit batu karang pada ternakan ruminan adalah perkara yang lazim berlaku. Penyakit ini berlaku apabila sejenis ‘batu’, biasanya terbentuk daripada garam fosfat (phosphate salts) berada dalam saluran perkumuhan dan menghalang pengeluaran air kencing. Biasanya, fosforus dikitar semula dalam badan melalui pengeluaran saliva (air liur) dan kemudiannya dikumuhkan bersama tinja. Walaubagaimanapun, pemberian kosentrate (pallet/dedak) yang tinggi serta rendah serat (rumput) akan mengurangkan pembentukan saliva mengakibatkan fosforus dikumuhkan melalui urin. Oleh itu, penyebab utama kepada kes batu karang adalah diet yang tidak seimbang – kosentrate yang mengandungi tinggi fosforus dan magnesium dan/atau nisbah kalsium dan fosforus yang tidak seimbang. Kurang bekalan air minuman dan kurang minum juga antara penyebab kes batu karang.
Apakah simptom?
Tanda klinikal adalah pelbagai. Pada awalnya ternakan akan menunjukkan ketidak selesaan dan mudah penat. Kemudian ternakan menunjukan tanda air kencing meleleh, sakit pada abdomen, hilang selera makan dan pemecahan salur kencing (uretra). Meneran ketika kencing dan menendang pada abdomen adalah tanda sakit pada perut akibat pembentukan batu karang tersebut. Kadang-kadang air kencing yang meleleh keluar bercampur darah. Ternakan juga akan mengasingkan diri dan mengeluarkan bunyi bising. Jika dibiarkan tanpa rawatan ternakan akan mati apabila pundi kencing pecah dan urin memenuhi ruang peritoneum dan diserap memasuki sistem peredaran darah. Peningkatan urea dalam sistem peredaran darah akan meracuni ternakan tersebut lalu menyebabkan kematian.
Bagaimana merawat batu karang?
Rawatan bagi kes batu karang adalah bergantung kepada kedudukan batu karang dalam salur perkumuhan. Menyedut keluar urin daripada pundi kencing akan memberikan kelegaan sementara kepada ternakan. Namun demikian, sekiranya batu karang tersebut di temui pada penghujung saluran uretra (penghujung penis) maka memadai dengan menggunting hujung salur uretra bagi membolehkan batu karang keluar dan melegakan ternakan tersebut. Sekiranya disyaki berlaku pembengkakan pada salur perkumuhan, suntik ternakan dengan anti-inflamantori. Bagi kes-kes tertentu seperti saiz batu karang yang besar, berada dalam pundi kencing atau ginjal atau saluran ureter, pembedahan major oleh pakar perlu dilakukan bagi mengeluarkan batu karang tersebut.
Pencegahan ?
· Berikan ternakan diet yang seimbang. Berikan rumput yang mencukupi disamping konsentrat (pallet).
Serat akan meningkatkan pengeluaran fosforus dari badan ternakan melalui penghasilan saliva (air liur).
· Nisbah kalsium dan fosforus yang seimbang dalam makanan, sekurang-kurangnya 2:1. Kalsium yang
tinggi dalam diet akan megurangkan penyerapan fosforus dalam sistem penghadaman. Tumbuhan
kekacang seperti alfalfa adalah sumber kalsium yang baik.
· Diet perlu mengandungi vitamin A yang mencukupi.
· Bekalan air minuman yang bersih sepanjang masa.
· Sediakan garam jilatan bagi meningkatkan pengambilan air minum oleh ternakan, walaubagaimanapun,
jangan campurkan garam dalam air minuman.
· Menambahkan ammonium chloride pada kadar 0.5 % dalam diet akan membantu mengurangkan pH urin
oleh itu menghalang pembentukan batu karang.
· Pilih formulasi makanan yang mengandungi ammonium chloride, dan nisbah Ca:P yang seimbang.
Diagnosis ?
· Tanda klinikal
· Sejarah diet/genetik
· Palpasi pada bahagian ventral pelvic region
· X-ray
· Ultrasound
· Analisa air kencing
· dll
